You are here: Home Artikel Lain Manfaat Bunga-Bungaan

Manfaat Bunga-Bungaan

E-mail Print PDF

Dahulukala, orang tua-tua masyarakat Melayu telah tahu memanfaatkan sumber alam semulajadi dalam kehidupan seharian mereka. Dari memanfaatkan air sebagai alat untuk membersihkan badan sehinggalah kepada tanah untuk bercucuk tanam, tumbuh-tumbuhan sebagai makanan selain alat membina tempat kediaman, cahaya matahari untuk keringkan pakaian, haiwan sebagai makanan selain meniru gerak-geri mereka untuk mahir berburu dan sebagainya. Sehinggalah dalam bidang penampilan diri, orang-orang tua Melayu telah membuktikan kebijaksanaan mereka dalam mencipta petua, ramuan dan resepi tertentu yang pada akhirnya memberi kesan positif yang maksimum kepada sipengamalnya.


Dalam bab penampilan diri, rata-rata orang tua-tua zaman dahulu memanfaatkan bunga-bungaan dengan cara yang baik sekali. Bunga-bungaan diketahui berbau harum dan menpunyai bentuk yang cantik dan menarik. Oleh itu ianya disemat dirambut atau disanggul gadis-gadis Melayu sebagai amalan seharian buat alat pewangi, penambah keyakinan diri dan penyeri bila dipandang. Baunya yang harum bukan sahaja menyegarkan ‘rasa’ sipemakainya malah mengundang selesa bagi sesiapa yang duduk berhampiran dengannya. Oleh kerana baunya yang harum selain mendatangkan rasa segar maka bunga-bungaan ketika itu popular dinobat sebagai alat penyebar wangi bagi menutup bau peluh pada tubuh badan.


Seterusnya, penggunaan bunga-bungaan sebagai alat penyebar wangian yang disemat disanggul gadis-gadis Melayu mengalami masa-masa perubahan apabila bunga-bungaan mula dijadikan bahan mandian sebagai media mengharumkan kulit. Kalau dahulu ia digunakan sekadar penyebar wangian yang berfungsi sementara untuk menutup bau peluh tetapi kini ia digunakan untuk mewangikan keseluruhan tubuh itu sendiri secara total. Oleh itu air digunakan, maka popularlah amalan ‘Mandi Bunga’ yang berfungsi sebagai pengharum tubuh bagi pengantin-pengantin baru sebagai ritual penting bagi menjamin kesempurnaan ‘malam pertama’. Dari situlah Mandi Bunga telah pun menjadi upacara adat bagi masyarakat Melayu disamping ianya berperanan untuk menyihatkan badan.


Mandi Bunga secara adatnya telah terbukti dapat menyegar dan menyihatkan tubuh badan sipengamalnya dan terbukti ianya masih diamalkan sehingga kini. Kajian sains telah membuktikan bunga adalah agen pencerap tenaga matahari yang paling baik manakala mandi dengan air yang bercampur dengan bunga-bungaan memungkinkan kita mendapat kebaikkan-kebaikkan tenaga matahari yang telah dicerap dan diproses oleh bunga. Bunga akan mengeluarkan butiran debunga halus yang kelihatan seperti bergerak dan bernyawa apabila direndam dalam air sejuk. Gerakan ini adalah hasil tekanan atau hentakan butir debunga dengan zarah-zarah air. Gerakan ini akan mengaktifkan semula deria luaran tubuh lantas merangsang sistem hormon di dalam tubuh. Apabila sistem hormon terangsang maka organ-organ dalaman akan bekerja dengan baik. Kajian sains sekali lagi mengatakan bahawa gerakan rawak ini membuktikan perlanggaran antara oksigen dengan karbon dioksida berlaku secara rawak dan membuktikan mandian bunga yang menggunakan perantara air adalah agen penghantar tenaga yang cekap.


Justeru itu, ramailah para saintis mengiktiraf amalan Mandi Bunga sebagai baik dan dapat memulih dan menyeimbangkan kesihatan tubuh badan secara semulajadi tanpa pengaruh bahan kimia.