You are here: Home Artikel Lain Khrafat atau Syirik ?

Mandi Bunga Amalan Khurafat ? Syirik ?

E-mail Print PDF

Jika ada yang percaya dengan mengamalkan amalan mandi bunga seseorang itu akan lekas mendapat jodoh maka ini adalah khurafat. Percaya bahawa dengan mengamalkan amalan mandi bunga seseorang itu akan dapat terbuang sialnya maka ini juga khurafat. Percaya bahawa dengan mengamalkan amalan mandi bunga rezekinya akan menjadi luas juga adalah khurafat bahkan akan jatuh hukumnya kepada syirik. Jatuh syirik kerana secara sedar meletakkan kebergantungannya kepada sesuatu selain Allah. Ketahuilah, segala sesuatu telah ditetapkan Allah dengan ketetapan yang disebut taqdir termasuklah dalam soal jodoh, nasib dan rezeki.


Seseorang yang masih belum berkahwin pada usia muda pada hakikatnya bukanlah disebabkan kerana ‘berat jodoh’ tetapi mungkin telah ditetapkan Allah jodohnya pada usia lewat. Seseorang yang sentiasa dirundung masalah pada hakikatnya bukanlah disebabkan kerana ‘nasib sial’ yang menyelubunginya tetapi mungkin Allah mahu mengajarnya tentang kesabaran. Seseorang yang dalam kesempitan pada hakikatnya bukanlah disebabkan kerana rezekinya mahal tetapi mungkin saja Allah mahu mengajarnya tentang tawakal. Oleh itu, berbaik sangkalah dengan Allah.

Ketahuilah jika seseorang itu mengamalkan mandi bunga lantas naiklah seri wajahnya namun tetap tidak terjamin yang ia akan segera mendapat jodoh kerana jodoh termasuk dalam taqdir Allah yang tidak boleh diubah dengan campur tangan manusia. Oleh itu perbetulkanlah niat.


Sebenarnya mandi bunga bertujuan untuk merangsang kesihatan berserta kesegaran badan, kesan daripada sihat dan segarnya badan justeru akan menampakkan wajah yang menjadi merah menyegar kerana itu nampaklah wajah itu berseri-seri kerana peredaran darah berjalan lancar. Apabila wajah berseri maka ramailah yang jatuh kasih dan jatuh kasihan. Sebenarnya ini proses asbab musabab. Namun ramai yang keliru dengan meletakkan keyakinan dengan mandi bunga seseorang itu akan mendapat jodoh.


Kesimpulannya, mandi bunga bukanlah amalan khurafat kerana telah terbukti dari sudut adat dan fakta sains akan khasiat dan manfaatnya, sebaliknya kepercayaan seseorang itu terhadap mandi bungalah yang menjebakkan mereka kepada jurang khurafat dan syirik.